advertisemant

Wednesday, August 17, 2011

Hukum penyimbah asid setimpal



MUHAMMAD KHAIRUN (kiri) bertanya sesuatu kepada Mohd. Rafi di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Undang-undang sedia ada untuk menghukum penjenayah simbahan asid perlu dikemas kini supaya hukuman setimpal dengan kecacatan kekal yang dialami mangsa dapat dikenakan terhadap penjenayah terbabit.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, berdasarkan kes-kes lepas, pihak polis mengkategorikan kesalahan simbah asid di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda RM1,000 terhadap pesalah.
Tegas beliau, hukuman tersebut jelas tidak setimpal jika dibandingkan dengan kecederaan teruk dan trauma yang dialami mangsa.
“Secara peribadi, saya melihat hukuman yang dikenakan ketika ini tidak cukup tegas bagi mengekang jenayah simbahan asid yang sedang berleluasa di negara kita.
“Orang yang tidak bertanggungjawab akan terus-menerus menjadikan asid sebagai senjata mudah untuk melepaskan dendam mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa simbahan asid, Mohd. Rafi Abdul Latiff, 28, di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Besar Kuala Lumpur semalam.
Mangsa dikatakan disimbah dengan asid ketika sedang menunggu rakannya di dalam kereta di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raya Laut selepas membeli-belah persiapan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira pukul 1.10 pagi pada 8 Ogos lepas.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu melecur teruk di muka, kedua-dua belah tangan dan mata kanannya kabur kesan simbahan asid tersebut.
Sementara itu, Muhammad Khairun turut menggesa setiap pembelian asid oleh orang ramai didaftarkan supaya ia dapat direkodkan bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.
“Saya yakin melalui tindakan itu, ia akan dapat memberi persekitaran yang lebih selamat kepada komuniti,” ujarnya.
Sementara itu, abang mangsa, Pegawai Staf 2 di Dasar Latihan Peperangan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Mohd. Jeffry Abdul Latiff, meminta kerajaan memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) terutamanya di kawasan awam.
“Rakaman melalui CCTV ini akan dapat membantu pihak berkuasa mengesan penjenayah,” katanya.
sumber kosmo

No comments:

Post a Comment