PEMAIN bola sepak negara sebenarnya mampu mencipta nama di bumi Eropah.
Apa yang penting, mereka perlu berani serta ada keyakinan untuk bersaing.
Buktinya, tiga tonggak skuad Olimpik negara - Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Fadhli Shas - telah mendapat perhatian sebuah kelab di Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate Moravce.
Sebagai permulaan, mereka akan menyertai kelab tersebut sebagai pemain pinjaman untuk selama tiga bulan hingga November depan.
Aksi cemerlang mereka sepanjang siri perlawanan persahabatan skuad Olimpik di Slovakia ketika ini telah menarik minat kelab yang menjadi lokasi pangkalan skuad negara sepanjang sebulan di sana.
Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee berkata, urusan pinjaman ketiga-tiga pemain Harimau Muda A itu kini sedang diselesaikan dan andai sudah dimuktamadkan, Wan Zack, Irfan dan Fadhli tidak akan dapat pulang berhari raya.
"Saya harap ketiga-tiga pemain ini akan membuka lembaran baharu agar lebih ramai lagi pemain kita dapat beraksi di liga sekitar Eropah.
"Walaupun liga utama Slovakia ini kurang prestij jika dibandingkan dengan Liga Perdana England, ia tetap mempunyai kualiti yang baik.
"Biarlah pemain kita bermula di Slovakia dan kita berharap mereka ini membuktikan dahulu kemampuan di sini sebelum berfikir jauh untuk beraksi di liga lebih ternama," kata Kim Swee ketika dihubungiKosmo! di Slovakia semalam.
Selepas enam perlawanan, ViOn kini menduduki tangga ketiga Liga Corgon dengan tiga kemenangan, dua seri dan sekali tewas, hanya dua mata di belakang pendahulu, Slovan Bratislava yang beraksi padaplayoff Liga Europa.
Wan Zack, 20, yang beraksi di posisi sayap merupakan penjaring terbanyak skuad Olimpik selepas lima aksi persahabatan di Slovakia dengan menjaringkan tiga gol.
Irfan, 20, pula yang beraksi sebagai penyerang kedua atau pemain tengah menyerang telah menjaringkan satu gol, manakala Fadhli, 20, yang juga pemain kebangsaan beraksi di posisi pertahanan tengah.
Mereka bagaimanapun akan tetap diberi pelepasan untuk beraksi pada Kelayakan Olimpik 2012 dan Sukan SEA 2011, November depan.
Dalam pada itu, Kim Swee mahu menjadikan dua perlawanan terakhir di Slovakia bertemu kelab Liga Corgon, FC Nitra malam ini dan kelab Liga 1 Slovakia, Levice malam esok sebagai medan memilih 25 pemain bagi menghadapi Jepun, 21 September depan.
"Saya akan menggunakan dua set pemain berbeza. Nitra kini di tangga kedua Liga Corgon dan baik untuk kita mengenal pasti kekuatan dan kelemahan. Saya akan turunkan skuad utama dan selebihnya akan beraksi menentang Levice.
"Daripada 30 pelatih ketika ini, saya akan umumkan senarai akhir 25 pelatih sebaik tamat perlawanan menentang Levice dan sebelum kita berlepas pulang pada Sabtu ini," jelas Kim Swee.
No comments:
Post a Comment